...latest...

...latest...

Friday, 4 July 2014

BAZAR RAMADHAN ATAU BAZIR RAMADHAN



             



 Alhamdulillah, 29 Jun 2014 yang lalu, umat Islam di Malaysia mula menyambut bulan Ramadhan Al Mubarak. Bulan mulia ini bukan sahaja mengkehendaki umatnya untuk menahan diri dari lapar dan dahaga bahkan dalam masa yang sama melatih kita untuk mengawal nafsu terutamanya nafsu makan. Al-maklumlah, ramadhan ni bazar melambak ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Ada yang menjual roti john, ayam percik, nasi arab, kuih muih, ikan pari sambal…sebutkan sahaja apa jenis makanan, semua ada. Membacanya sudah membuatkan meleleh air liur apatah lagi bila berada di bazar. Rambang mata nak pilih itu dan ini.

            Membeli juadah yang diingini tidak salah tetapi yang salah adalah apabila berlakunya pembaziran di bulan puasa ini. Apabila didorong nafsu, mulalah membeli atau menyediakan makanan  dan minuman melebihi keperluan hinggakan ia tidak habis dimakan. Kadangkala dilihat waktu berbuka puasa itu bagaikan pesta makan dengan terhidangnya pelbagai jenis juadah. Apabila ditanya ada yang memberikan jawapan “ duit aku, sukahati aku lah nak beli apa”.


     Tidak dinafikan, berbelanja membeli juadah itu memang hak anda tetapi anda harus ingat, wang itu datang dari siapa? Sudah pastinya segala rezeki itu Allah yang berikan kepada kita tetapi harus diingatkan juga, Allah tidak suka orang yang membazir sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Israa ayat 26-27 yang bermaksud:   
 
26. Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros Yang melampau.
27. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

            Berhubung larangan membazir ini juga, Rasulullah S.A.W bersabda dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, enggan memberi sedekah miliknya dan meminta-minta hak orang lain dan ditegah ke atas kamu tiga perkara iaitu mengada-ngadakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta”.

(Hadis Riwayat Al-Bukhari).

Berdasarkan dalil-dalil di atas, pemborosan dan pembaziran adalah perbuatan yang patut ditinggalkan oleh orang yang benar-benar mengaku beriman kepada Islam. Jadi selepas ini, sesiapa yang suka boros dan membazir dalam bulan Ramadhan ini perlu berfikir masak-masak sebelum membelanjakan wang ringgit. Keredhaan Allah itu lebih penting dan utama! Lebih baik bersaudara dengan manusia berbanding bersaudara dengan syaitan. Ngee!


            Secara jelas, Nabi Muhammad hanya menggalakkan kita menyegerakan berbuka puasa tepat pada waktunya dan disunatkan berbuka dengan kurma atau buah-buahan yang lain. Jika tiada buah-buahan itu, berbukalah dengan meminum air. Kemudian hendaklah didahului solat Maghrib sebelum memakan makanan yang lain seperti nasi dan sebagainya. 

            Tuntutan puasa yang sebenarnya bukanlah sekadar menahan diri daripada makan dan minum semata-mata. Hakikatnya, puasa adalah suatu bentuk latihan praktikal bagi mendidik roh, minda, jasad dan nafsu manusia kea rah pengabdian dan kepatuhan kepada Allah.
            Justeru, kita perlu sedar bahawa Ramadhan yang sedang dilalui ini banyak mendidik nafsu dan jasad kita agar sentiasa berjimat cermat dalam berbelanja. Berbekalkan didikan praktikal yang kita terima dalam bulan Ramadhan ini, kita akan manfaatkan untuk mengharungi kehidupan dalam bulan-bulan yang berikutnya. 

            Ketika berbelanja untuk majlis berbuka puasa, kita seharusnya mengenangkan nasib saudara seagama yang berbuka puasa dalam keadaan serba kedaifan dan kekurangan. Di kala kita menjamah lazat juadah berbuka, saudara kita di Somalia hanya mampu menahan lapar dan dahaga kerana ketiadaan makanan. Saat kita membuang lebihan makanan yang tidak dimakan, tahukah anda saudara seIslam kita yang ditindas di Syria, Palestin dan tempat yang lain berusaha keras mencari sesuap makanan untuk mengalas perut dalam keadaan yang genting?Jika beroleh makanan pun belum tentu akan pulang dalam keadaan bernyawa, berbanding kita yang seperti ular sawa kekenyangan selepas berbuka. Beza…jauh beza.


            Oleh itu alangkah baiknya jika kita membanteras amalan pemborosan dan pembaziran yang keji itu dengan berfikir masak-masak sebelum membelanjakan wang untuk membeli juadah. Malah, di bulan mulia ini, ringan-ringankanlah tangan anda untuk bersedekah kepada golongan-golongan yang memerlukan seperti fakir miskin dan anak-anak yatim. Kita raikan mereka bersama. lihat Sedikit bantuan atau sumbangan yang kita hulurkan kepada golongan yang tidak berada ini, dengan niat ikhlas dan dari sumber yang halal sudah tentu akan disediakan ganjaran pahala di sisi Allah.

Solusinya, kalau anda tidak mahu membazir, maka berfikirlah sebelum berbelanja. Kalau masih parah, maka berbukalah dengan juadah yang disediakan oleh guru pelatih IPG di surau dengan syarat, makan sampai licin talam. Bukan setakat sedap, duit pun jimat bahkan ukhwah pun bertambah erat. Moga Ramadhan kita kali ini lebih baik dari ramadhan sebelumnya. Tingkatkan ibadah dan prestasi iman anda…selamat berpuasa buat guru pelatih Islam IPGKSM. Hehehe…sekian, peace no war.wassalam…


0 comments: